MB menjunjung kasih atas kunjungan Sultan Kelantan

KOTA BHARU:  Sultan Muhammad Ke V hari ini berkenan menziarahi Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Keberangkatan tiba baginda disambut anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed.

Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanya khabar berkaitan kesihatan Menteri Besar sejak dirawat di HUSM Rabu lepas.
Ustaz Ahmad menjunjung kasih di atas kesudian baginda menziarahinya.

Beliau berkata kesihatannya sekarang semakin pulih hampir 100 peratus.

“Sakit kepala yang saya alami sebelum ini tidak lagi dirasai selepas pembedahan kecil di bahagian kepala Khamis lepas.

"Alhamdulillah, syukur kesihatan saya semakin baik. Saya semakin sihat dan tak sabar untuk bertugas serta bertemu rakyat.

"Terima kasih kepada rakyat, kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa mendoakan kesihatan saya," katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya juga beliau tidak menyangka proses rawatan yang dijalani membolehkan penyakitnya lebih cepat pulih.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi menziarahinya Sabtu lepas. – HARAKAHDAILY 18/4/2016

0 comments: