Membina institusi keluarga, wahai wanita permudahkanlah

“Katakanlah kepada wanita yang beriman; Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya” (An Nuur;31)
Di dalam Alquran, begitu banyak ayat-ayat berkaitan wanita. Islam mengangkat martabat wanita, menyelamatkan golongan ini dari ditindas dan dipergunakan sebagai bahan dagangan seperti semasa zaman Jahiliah. Mata yang buta dan hati yang hitam akan melihat panduan-panduan yang digariskan oleh Islam terhadap wanita sebagai satu bentuk kongkongan dan membantutkan potensi diri wanita itu sendiri.
Ketirisan akhlak wanita membawa impak yang amat besar. Ia akan berlanjutan sehingga menyebabkan keruntuhan institusi keluarga, meruntuhkan masyarakat, mencalarkan imej agama seterusnya boleh meranapkan sebuah negara. Mengambil contoh atas insiden yang berlaku kerapkali di negara kita iaitu kehamilan anak luar nikah, pencabulan dan penderaan anak-anak kecil oleh ibu sendiri malah ada yang merelakan anak ‘diusik’ dengan kasar oleh teman lelaki. Jika maruah dijaga dari awal lagi, maka ia akan menjadi hijab dari wanita itu didekati oleh lelaki yang bertuhankan syaitan. Biar maju di sudut ekonomi tetapi bila akhlak sudah hancur,negara bakal ranap juga suatu hari nanti. Lihat sahaja anak-anak remaja sekarang yang semakin hari semakin sukar dibentuk sifatnya dan semakin kabur visi hidupnya.
Baru-baru ini juga kecoh apabila institusi masjid dicabuli dengan pergaduhan antara keluarga bakal pengantin, dikatakan ia hanya disebabkan salah faham dan kegagalan mencapai persetujuaan berkenaan wang hantaran. Pelbagai kenyataan telah dikeluarkan dari pihak yang terlibat, wakil dari masjid berkenaan malah ramai juga yang tampil mengeluarkan kenyataan demi kenyataan di alam maya bagi menyatakan pendapat, membuat analisa dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap insiden yang terjadi.
Mahu atau tidak,inilah realiti yang kita hadapi. Wang hantaran yang diminta pihak perempuan dilihat semakin lama semakin meningkat akibat pengaruh kenaikan taraf hidup masyarakat sehingga menyebabkan kerunsingan pihak lelaki mencari wang mengikut jumlah yang diingini.
Walaupun itu realitinya, kenyataan yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana rakyat Malaysia,namun harus difahami bahawa proses membina sebuah keluarga akan menjadi mudah dan lancar atas persetujuan kedua pihak bakal pengantin. Ia menuntut tolak ansur dan toleransi dalam memahami kedudukan kewangan pasangan terutamanya pihak lelaki. Meskipun kos taraf hidup semakin tinggi, namun apabila kita memilih pasangan untuk berkahwin maka kedudukan kewangan perlu diterima dan dibincangkan secara khusus. Meletakkan wang hantaran dan mas kahwin perlu sesuai dengan tahap kewangan bagi memudahkan pernikahan berlangsung. Bukan setakat gah mengadakan majlis perkahwinan demi menunjukkan kemampuan ‘palsu’ kita kepada umum. Kedudukan kewangan selepas majlis itu lebih penting untuk diperincikan.
Apa guna mendapat wang hantaran yang tinggi tetapi sengsara di kemudian hari? Hutang keliling pinggang akan terus menghantui malah mungkin mengganggu keharmonian rumahtangga.
Tindakan bergaduh di kawasan masjid juga amat tidak boleh diterima oleh masyarakat kerana masjid adalah institusi suci agama Islam. Masjid adalah institusi mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah swt, mempertautkan hubungan sesama Islam, mengajarkan yang jahil dan menyedarkan manusia yang lalai. Ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu semasa zaman Rasulullah saw. Tindakan melepaskan amarah di masjid menunjukkan betapa dangkalnya ilmu dan ceteknya akal si pelaku. Biar berapa banyak pun kenyataan membela diri yang dikeluarkan oleh pihak yang terlibat tetap tidak dapat menutup kesalahan besar mereka yang cetek dalam membuat penilaian.
Sesungguhnya Islam sudah digariskan dengan panduan yang amat mudah,namun ia menjadi sukar bila kita menitikberatkan perkara teknikal dan meringankan perkara yang lebih utama.
WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Penerangan DMPM
28 Jamadil Akhir 1437
6 April 2016

0 comments: