PAS KE PUTRAJAYA : MENELUSURI KEFAHAMAN PERJANJIAN HUDAIBIYYAH
( Bahagian 1)
Perjanjian Hudaibiyyah yang tercatat pada tahun ke 6 Hijrah adalah amat signifikan untuk difahami dan diteliti dalam menggapai kemenangan dalam konteks pilihanraya umum ke-14 akan datang khasnya untuk mengambilalih tampuk pemerintahan kerajaan di Putrajaya.
Penghijrahan Baginda Nabi s.a.w. ke Madinah bersama sahabat-sahabatnya setelah melalui proses dakwah dan bertahan selama 13 tahun di Mekah, Islam mula menampakkan kejayaan dan keizzahannya. Kejayaan demi kejayaan dicapai oleh Islam selepas pengukuhan Kerajaan Islam Madinah oleh Nabi s.a.w.
Bermula dari tahun pertama hijrah sehinggalah tahun ke 6 hijrah, Nabi s.a.w. dan umat Islam telah melalui sejumlah siri peperangan, perjanjian dan berdepan dengan kelompok Yahudi serta pengusiran mereka dan mainan jahat musuh dalam selimut daripada sikap berpaling tadah golongan munafik. Semua rencah dan rempah dijadikan sebagai iktibar berharga buat Nabi s.a.w. dan para sahabat bagi melakar kemenangan Islam lebih besar pada masa hadapan.
Sehinggalah pada tahun ke 6 hijrah, Nabi s.a.w. telah bermimpi bahawa Baginda s.a.w. dan para sahabatnya memasuki Mekah dengan aman sambil mengerjakan tawaf, bercukur, menyembelih korban tanpa gangguan sesiapapun. Mimpi Baginda s.a.w. diceritakan kepada para sahabatnya dan mereka sangat gembira kerana mereka yakin kemenangan Islam pasti hampir. Bahkan wahyu Allah s.w.t. telah diturunkan pada tahun ke 5 hijrah yang mewajibkan umat Islam mengerjakan ibadah haji di Mekah. Maka ini adalah mesej secara tidak langsung yang difahami bahawa Islam akan kembali negeri asalnya dan memerintah.
Maka berlakulah satu peristiwa penting iaitu Perjanjian Hudaibiyyah dan rentetan daripada itu, dengan izin Allah s.w.t. Islam mencapai kemenangan ke atas Kota Mekah atau Fathu Makkah.
Marilah bersama menyelusuri beberapa poin signifikan yang perlu PAS teliti daripada Peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah ini.
1. PAS Mendaulatkan Islam Bernegara dan Bermasyarakat
Perjuangan PAS adalah mata rantai yang menyambung risalah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat r.a.h. iaitu menegakkan Islam yang mengatur kehidupan manusia.
Perjuangan Baginda s.a.w. bukanlah sekadar mengajak manusia menyembah Allah dalam konteks ibadah yang sempit sahaja malah konsep ubudiyyah kepada Allah dalam semua segi, iaitu Ibadah, Akhlak, peraturan dan undang-undang, ekonomi, sosial, urusan individu, masyarakat hatta pemerintahan bernegara.
Baginda dengan jelas mengambil inisiatif untuk merealisasikan tujuan itu dengan beberapa tindakan antaranya, hijrah dan utusan Nabi s.a.w. beberapa orang sahabat yang diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib ke Habshah antara lain ialah menyampaikan mesej Islam kepada Ketua Negara Habshah Raja Najasyi agar menerima Islam, utusan surat yang dihantar oleh Baginda s.a.w. kepada raja- raja Rom, Mesir dan Parsi yang menyeru mereka untuk menerima Islam. Lebih-lebih lagi peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w. dan para sahabat ke Madinah adalah dengan maksud untuk menegakkan Islam dalam konteks masyarakat dan negara.
Maka PAS, dalam apajua usahanya tidak akan menyimpang daripada cita-citanya agar negara ini dapat ditegakkan dalamnya sebuah masyarakat dan negara ini dengan kesyumulan nilai-nilai Islam dan hukumnya.
Walaupun PAS menyedari bahawa di negara ini rakyatnya adalah multi racial berbilang kaum dan agama budaya, namun ia tidak menjadi sebab sebagai batu penghalang kepada PAS untuk berjuang bagi mencapai hasrat murni itu.
Bahkan, multi racial dalam pemerintahan dan kerajaan Islam dan dalam negara Islam bukanlah satu perkara yang yang baru dan pelik malah ia adalah satu kelebihan untuk perjuangan Islam menjadi mereka sebagai sasaran dakwah dan masih berpotensi menerima Islam.
Perjuangan PAS apabila diberikan kuasa memerintah, akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk merealisasikan hukum syariat termasuklah Hudud, Qisas dan takzir. Kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990 sehingga sekarang dan juga di Terengganu pada tahun 1999-2004 diambil peluang itu untuk menggubalkan dan berusaha mengkanunkan Syariat Islam dalam negeri yang dimenangi walaupun terhalang dengan pelbagai kekangan dan kepayahan. Kerajaan PAS Kelantan sehingga kini masih meneruskan usaha tanpa jemu dan kecewa sehingga yang terkini diberikan peluang untuk membentang cadangan pindaan Akta 356 Perlembagaan bagi menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang membolehkan undang-undang Islam dimartabatkan.
PAS tidak boleh ditutup suaranya untuk memastikan sistem Islam dan hukum-hakamnya didaulatkan kerana ini adalah prinsip perjuangannya sebagaimana ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. dalam jawapannya kepada Abu Jahal dan bapa saudaranya Abu Talib yang menawarkan gantian duniawi agar Baginda s.a.w. melepaskan prinsip menyebarkan dan menegakkan Islam dalam dakwahnya.
PAS memahami bahawa usaha ini tidak mudah, memerlukan kesabaran dan ketabahan serta kecekalan, di samping menjaga prinsip perjuangannya. Bukan semata-mata inginkan kuasa, maka PAS boleh melunturkan prinsip ini dengan melupakan hasratnya untuk menegakkan syariat Islam. Terutamanya pelbagai alasan yang direkacipta untuk melonggarkan prinsip ini seperti alasan tiada kondusif, masyarakat majmuk, kejahilan masyarakat, halangan perlembagaan dan lain-lain lagi.
PAS tidak akan gelojoh dan gopoh dalam menggapai matlamat ini sekalipun bersilih ganti kepimpinan PAS dan mengambil masa bertahun lamanya.
Jika diamnil contoh, PAS dalam menangani pelbagai isu negara sentiasa menjadikan Islam sebagai rujukan penyelesaian. Isu perlaksanaan Goods and Service Tax (GST) ditentang oleh PAS bukan disebabkan semata-mata isu ketidaksesuaian masa atau lainnya. Tetapi PAS menentang GST disebabkan ianya bercanggah dengan prinsip Islam. PAS mengemukakan cadangan melalui Dokumen Hijau sebagai penyelesaian alternatif dan penyelesaian Islamik dalam segala tindakan pihak Kerajaan UMNO BN yang tidak menjadikan Islam sebagai penentu tetapi Islam cukup sekadar " alat mekap ".
Banyak lagi contoh pendirian yang telah diambil PAS dalam memberi cadangan kaedah penyelesaian menurut Islam kepada pihak kerajaan dan berwajib. Ini adalah perjuangan PAS yang sentiasa yakin terhadap kemampuan Islam dalam menangani kepelbagaian masalah dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.
2. PAS dan Perjuangan Muwajahah Silmiyyah
Pendekatan yang diselusuri oleh PAS sejak 60 tahun lebih dalam negara ini ialah pendekatan yang strategik dan bijak iaitu Muwajahah Silmiyyah atau lapangan politik dalam amalan demokrasi.
PAS dari awal penubuhannya telah mengambil sikap bahawa hasrat dan halatuju perjuangan PAS mestilah tidak lari daripada method damai dan tidak menggunakan kekerasan. Inilah mesti difahami oleh ahli PAS dan bukan ahli PAS bahawa PAS akan senantiasa menjadi sebuah gerakan Islam yang mendokong dan menpertahankan kedaulatan dan keamanan negara ini daripada kancah ketidakstabilan.
PAS mempelajari method perjuangan Nabi s.a.w. yang mengutamakan cara damai dan aman daripada pertembungan dalam usaha memenangkan perjuangan Baginda. Pendekatan Baginda s.a.w. sentiasa mengelakkan daripada pertempuran dan peperangan, bahkan method dakwah, menerang, menyeru dan dakwah bil hal adalah menjadi jalan sepanjang perjuangannya.
Hatta peperangan yang berlaku dalam sejarah awal perjuangan Baginda s.a.w. adalah bukan cetusan dan pilihannya tetapi kerana tiada jalan lain dan semata-mata untuk mempertahankan diri dan Islam. Sebagaimana dimaklumi bahawa Perang Badar itu sendiri asalnya bukan perang, Perang Uhud berpunca usaha balas dendam musyrikin Mekah atas kekalahan Badar dan Perang Ahzab ialah kerana kejahatan Yahudi dan golobgan Munafik di Madinah.
Termasuk peristiwa kemenangan Islam dalam Pembukaan Kota Mekah adalah berasaskan kepada kebijaksanaan method dakwah silmiyyah yang diambil oleh Baginda Nabi s.a.w. Perjanjian Hudaibiyyah adalah faktor terpenting yang perlu dicungkil dan digali sedalamnya bahawa jalan damai dan tidak bertembung mesti didahulukan selama ia masih mampu membawa natijah positif walaupun sangat kecil peluangnya dan lama masanya.
3. Perjuangan PAS dan Kepentingan Negara
Perjanjian Hudaibiyyah atau genjatan senjata ini bermula dengan rombongan Nabi s.a.w. dan bersama 1400 orang Islam untuk menunaikan umrah pada tahun ke 6 hijrah telah dihalang oleh Abu Sufian bin Harb melalui utusannya Suhail bin Amr. Maka terjadilah genjatan senjata antara Nabi s.a.w. dengan Abu Sufian bin Harb mewakili kaum Musyrikin Mekah mencetuskan satu bentuk dimensi baru dalam perjuangan Baginda s.a.w. yang membawa kemenangan lebih bermakna dan lebih berwibawa ke atas pihak musuhnya. Perjanjian Damai Hudaibiyyah adalah terbitan daripada persefahaman kedua belah pihak sepakat dalam satu perkara atau " common interest " antara Islam dan Musyrikin Mekah iaitu Mekah itu merupakan tanah suci yang dihormati oleh Islam dan Musyrikin Mekah dan tidak boleh dikotori dan dipalitkan dengan pertumpahan darah dan permusuhan.
Ini juga bermakna PAS perlu mengambil pengajaran bahawa dalam perjuangan menduduki tampuk kuasa negara tercinta ini, maka " common interest " yang disememangnya dihormati oleh semua pihak samada PAS, UMNO BN dan lelainnya adalah kepentingan negara Malaysia dan keamanannya yang perlu diletakkan sebagai keutamaan. Sebarang pertukaran kepimpinan dan pengurus atau pentadbir negara ini hendaklah dijalani secara demokrasi dan berperlembagaan atau pilihanraya dan bukan cara selainnya samada melalui jalanraya, peperangan, kucar kacir dan ketidakstabilan perlu dielakkan.
Sekalipun PAS terlalu inginkan penyingkiran Kerajaan UMNO BN daripada tampuk pemerintahan negara ini yang telah melakukan pelbagai salahurus dan kepincangan, namun prosesnya mestilah dilaksanakan tanpa merugikan dan menghancurkan negara apatahlagi memangsakan rakyat negara ini.
PAS mendidik ahlinya agar bersabar dan tabah tanpa rasa jemu dan bosan dalam perjuangan melawan UMNO BN serta istiqamah mencari keredhoan Allah dalam perjuangan. Janganlah semangat yang membuak-buak dan kesumat hati dalam usaha menjatuhkan Kerajaan UMNO BN ini mengaburi mata dan hati ahli PAS sehingga hilang pertimbangan dan mampu merosakkan negara dengan bertindak gopoh dan tergesa-gesa tanpa berfikir matang dan bijak. PAS ingin mengambilalih negara dengan cara yang demokratik dan cara aman tanpa sebarang keadaan yang mengundang ketidakstabilan seperti yang berlaku di sebahagian negara luar.
Bersambung .....
Nukilan
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan
Lajnah Penerangan DUPP
8 Rejab 1437h / 15 April 2016.
0 comments: