MIRI: Seorang calon bukan Islam adalah antara 11 calon PAS yang akan diletakkan parti pembangkang itu, dalam usaha untuk bertapak dalam politik Sarawak, pada pilihan raya negeri ke-11.
Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili mengesahkan buat julung kalinya parti akan meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya negeri Sarawak namun enggan mendedahkan identiti calon itu.
"Pengumuman rasmi kesemua 11 calon, termasuk calon bukan Islam itu dan satu-satunya calon wanita, akan diumumkan esok malam di Bintulu," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Mukhtar berkata kali ini calon-calon PAS daripada pelbagai latar belakang dan merupakan profesional daripada syarikat multinasional, pesara, usahawan dan bekas penjawat awam.
"Kami telah turun padang ke seluruh Sarawak menerusi program kami dipanggil "Untukmu Sarawak" yang telah dilaksanakan pada 2014 dan berdasarkan maklum balas, kami yakin yang kami ada peluang," katanya.
Bagi pilihan raya negeri ke-11, PAS akan bertanding di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.
Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini mengumumkan DUN akan dibubarkan pada 11 April ini bagi diadakan pilihan raya negeri ke-11. - BERNAMA
0 comments: