Menurut pemantau aliran wang haram Integriti Kewangan Global (GFI), Malaysia ialah di antara negara teratas di dunia dari segi pengaliran keluar wang haram.
Laporan GFI di penghujung 2015 menyatakan bahawa Malaysia telah kehilangan jumlah terkumpul sebanyak AS$418.542 bilion (RM1.8 trilion) sejak tahun 2004 kerana pengaliran keluar wang haram yang berpunca daripada rasuah, pengelakan cukai dan jenayah dan aktiviti haram yang lain.
Selepas menduduki tempat kedua paling teruk pada tahun 2010, kedudukan negara bertambah baik dengan berada di tempat keempat pada 2011 dan kekal di tempat kelima sejak 2012. Bagi tahun 2013, Malaysia sekali lagi berada di kedudukan di belakang China, Russia, Mexico dan India.
Berlatar-belakangkan ini, PAS menggesa SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat individu-individu Malaysia yang tersenarai dalam pendedahan yang dibuat oleh 'Panama Papers' demi ketelusan dan juga memastikan mereka yang terlibat menempatkan dana mereka di luar negara tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah dan sumber kewangan mereka adalah bersih.
Aktiviti menyimpan duit di luar negara adalah umpama seorang kanak-kanak yang cuba merahsiakan tabung simpanan daripada pengetahuan orang tuanya lalu ia menyorok tabung simpanan di rumah kawannya. Cuma yang tidak diketahui di mana kanak-kanak itu mendapat sumbernya untuk menabung?
Apakah duit itu adalah hasil simpanan duit poket yang diberikan ibubapanya? Apakah sumber duit menabung adalah hasil keringatnya bekerja sampingan? Atau sumber duit itu datang daripada aktiviti mencuri wang sahabatnya?
Oleh itu, persoalan yang perlu dibongkar SPRM dan LHDN ialah apakah niat mereka yang didedahkan di dalam Laporan Panama melakukan aktiviti tersebut? Apakah ia semata-mata demi mengelakkan diri daripada membayar cukai, atau terlibat dengan pelaburan wang haram, atau untuk perkara lain yang berniat baik?
PAS percaya ada antara mereka yang tersenarai adalah penyumbang kepada buruknya kedudukan Malaysia di mata GFI dari segi pengaliran keluar wang haram. Bagi kumpulan ini, PAS menggesa tindakan sewajarnya perlu diambil atas kesalahan melanggar undang-undang negara terutamanya dari segi mengelakkan cukai.
Di samping itu, PAS juga ingin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya untuk mendedahkan jumlah cukai yang dibayar sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
Pendedahan ini boleh membantu PM dan isteri menjawab tohmahan dan tuduhan terhadap kemampuan mereka berhidup mewah, sumber pendapatan mereka dan juga dakwaan media antarabangsa terhadap perbelanjaan besar ketika mereka bercuti di Eropah dan Amerika Syarikat di 2014.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 April 2016
Timbalan Presiden PAS
6 April 2016
0 comments: