Warisan Bangsa Mempertahan Agama, Negara & Jati Diri.



Ilmu Persilatan merupakan warisan Bangsa Melayu turun temurun. Ianya sejenis seni mempertahankan diri yang di akui seluruh dunia sebagai seni warisan yang ulung serta kaya dengan budaya, adat serta gaya ketimuran. Kemasyhuran ilmu persilatan Melayu berada di puncak kegemilangannya ketika Zaman Kesultanan Melaka terutamanya ketika Tun Perak menjadi Bendahara serta Hang Tuah serta sahabat-sahabatnya menjadi Laksamana serta penjaga Empayar Melaka yang berteraskan Hukum Islam di abad ke 15.

Namun ketika ini kurangnya anak-anak Melayu berminat dengan seni serta budaya sendiri. Jika tidak kita anak-anak bangsa mengangkat maruah kita sendiri, siapa lagi yang mahu menjunjung keagungan seni serta ilmu bangsa sendiri seperti ilmu persilatan ini. Namun ilmu persilatan bukan digunakan semata-mata untuk berperang atau mendabik dada, ianya lebih bertujuan mempertahankan diri dari ancaman bermacam bentuk. Di salah guna memakan diri, bijak melangkah pendinding diri.


Ilmu persilatan jika di kaji banyak faedahnya. Ianya mendisiplinkan diri orang yang mempelajarinya dari pelbagai sudut seperti tanggungjawab, disiplin dan berjemaah. Seorang pesilat punyai tanggungjawab yang besar apabila mempelajari ilmu persilatan. Jika di zaman dahulu ianya bertujuan untuk menjaga kampung halaman atau tanah air daripada di ceroboh oleh musuh, lanun dan penjahat. Namun dalam konteks hari ini ianya lebih kepada mempertahankan jati diri seseorang pesilat dari hilang atau pun lupa diri dan asal usul.
Mendisiplinkan diri, menunaikan tanggungjawab sesama insan serta berjemaah iaitu tanggungjawab sesama kumpulan, masyarakat dan negara adalah teras ilmu persilatan. Lihatlah wira- wira kita seperti Dato Bahaman, Mat Kilau, Hang Tuah, Mat Saleh serta ramai lagi wira-wira bangsa yang mempertahankan tanah air dengan ilmu persilatan mereka dengan penuh rasa tanggungjawab, berdisiplin dan memegang amanah untuk mempertahankan tanah air kita. Apa yang kita nikmati hari ini adalah usaha perit jerih mereka dalam usaha mempertahankan tanah air ini dengan ilmu persilatan mereka.

Islam tidak melarang ilmu mempertahankan diri, setiap bangsa dan budaya mempunyai ilmu mempertahankan diri mereka sendiri, orang-orang Melayu Islam seharusnya berbangga dengan Ilmu Persilatan Melayu. Asalkan tidak melakukan perkara-perkara khurafat dan syirik, setiap ilmu mempertahankan diri harus di pelajari dengan tujuan kebaikan, bukan untuk mendabik dada, berlaku kejam serta menindas orang lain.

Dengan ini Dewan Pemuda PAS Malaysia ( DPPM ) ingin bersama anak-anak muda mengangkat kembali kegemilangan ilmu warisan bangsa ini. Disamping mempelajarinya untuk tujuan kebaikan, kesenian dan memepertahanka diri, setidak-tidaknya dapat mengingatkan kita kembali sejarah terbinanya tanah air kita dan mengenang kembali pahlawan – pahlawan serta wira – wira kita yang mempertahankan tanah air kita, agama dan bangsa  dengan ilmu kesenian ini hingga ke akhir nyawa mereka.

Mempersiapkan Generasi Kemenangan.
Istiqamah Hingga Kemenangan.

Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin.
Naib Ketua Pemuda Malaysia.
Pengarah DACS Malaysia.

0 comments: