KUALA LUMPUR, 5 April : PAS Wilayah Persekutuan telah melakar sejarah apabila berjaya mengumpulkan lebih dari 30 Ahli veteran PAS dalam satu majlis di Ibu Kota malam tadi. Markaz Tarbiyyah dan Dakwah Bandar Tun Razak menjadi saksi terhadap penubuhan Kelab Veteran PAS Wilayah Persekutuan.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Tuan Hj Mohamad Noor Mohamad dalam ucapan alu-aluan menyatakan kesyukurannya kerana dapat hadir dalam satu majlis mempertemukan tokoh-tokoh veteran PAS di Wilayah Persekutuan. Mereka sebenarnya telah menyerlahkan terdapatnya ahli yang terus beristiqamah dalam perjuangan walaupun ada sebahagian kecil yang telah gugur di pertengahan jalan.
Tuan Pesuruhjaya mahukan semua ahli veteran PAS Wilayah Persekutuan terutamanya tokoh veteran PAS Tuan Hj. Subky Latif mantan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang turut hadir, menjadi idola serta contoh sebagai ahli yang masih hidup dan terus istiqamah mendokong perjuangan.
Penubuhan kelab tersebut diharapkan akan menjadi titik permulaan bagi seluruh ahli veteran PAS di Wilayah Persekutuan agar segala pengalaman yang ada dapat digarap untuk memantapkan parti disamping terus berperanan sesuai dengan usia dan keupayaan masing-masing, tambah Tuan Hj Mohamad Nor lagi.
Pak Subky dalam ulasannya memaklumkan bahawa Kelab Veteran PAS ini telah ditubuhkan di beberapa buah negeri lain. Untuk menjadikan ianya lebih efektif, penyelarasan di peringkat Pusat perlu dilaksanakan.
Beliau menyatakan bahawa Kelab ini penting bagi memastikan mereka yang telah lama berjuang masih boleh berperanan. Oleh itu, bagi Wilayah Persekutuan, umur ahli yang mahu menyertainya jangan dihadkan. Walaupun masih dalam lingkungan empat puluhan, jika mereka tidak lagi aktif dalam mana-mana peringkat organisasi parti, boleh diterima menjadi Ahli Kelab. Ia dapat menghindarkan mereka hanyut dari arus perdana perjuangan semasa PAS.
Kelab Veteran PAS yang ditubuhkan diharapkan akan melaksanakan lebih banyak aktiviti sosial berbanding politik seperti ziarah, kumpulan berzanji, marhaban dan sebagainya. Satu lagi peranan yang lebih penting ialah menjadi saluran rasmi untuk menasihat dan menegur pimpinan PAS di semua peringkat. Dalam waktu yang sama ia boleh memberikan ‘counseling’ kepada mana-mana ahli yang terkeliru dengan perjuangan parti.
Dalam pertemuan tersebut, mereka yang hadir telah bersetuju sebulat suara untuk mewujudkan Kelab Veteran PAS Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun mereka mahukan nama yang lebih sesuai bagi menggambarkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Antara yang dicadangkan adalah Kumpulan Warga Fastaqim
Satu Jawatankuasa Penaja kemudiannya telah dibentuk dimana Tuan Hj Subky Latif telah dipilih sebagai Pengerusi dengan dibantu oleh Tuan Hj Zakaria sebagai Timbalan dan Cikgu Kamaruddin sebagai Naibnya. Tuan Hj Azmi telah dilantik sebagai Setiausaha sementara 5 orang Ahli Jawatankuasa lain juga telah dipilih menganggotainya.
0 comments: