Zakir Naik mesti dibenarkan menyampai dakwah di Malaysia


Zakir Naik mesti dibenarkan menyampai dakwah di Malaysia

Bismillah

Telah tersebar berita pengumuman terhadap pembatalan ceramah Dr Zakir Naik yang dijadualkan berlangsung di beberapa tempat di negara ini oleh PDRM atas alasan apa yang dikatakan kononnya sebagai untuk mencegah penghinaan agama lain oleh beliau. Saya merasakan perlu atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu, yang kebanyakkan program beliau berlangsung di Terengganu, untuk memberikan sedikit sisi pandangan yang mungkin berbeza daripada pihak-pihak lain.

1- Sebagai sebuah parti yang berpegang teguh dengan ajaran Islam, ya kami bersetuju bahawa Islam tidak membenarkan penganutnya daripada menghina agama lain dalam apa bentuk cara sekalipun. Namun begitu, apakah definisi menghina itu? Jika mengutuk dengan semberono tanpa fakta, ianya sedia dimaklumi semua itu adalah menghina. Tetapi jika dibuat perbandingan dengan fakta, adakah itu menghina? Sehingga perkara kecil sekalipun dalam hidup kita, kita berhak membuat perbandingan bagi memilih. Inikan pula perkara terbesar iaitu aqidah dan kepercayaan.

2- Pihak PDRM sepatutnya membuat penilaian kepada ceramah-ceramah DZN sebelum ini sebelum memutuskan hal ini secara tergesa-gesa. PDRM adalah sebuah badan professional dan tidak memerlukan provokasi atau ugutan murahan dari pihak-pihak yang pengecut dari berdebat untuk PDRM bertindak terhadap DZN.L

3- Nampaknya India lebih terkehadapan dalam melaksanakan proses demokrasi dengan membenarkan ceramah-ceramah DZN di negara yang majoritinya Hindu, sebaliknya ia tidak berlaku di Malaysia. Tiada juga kedengaran rusuhan dan kekacauan ketika ceramah beliau di India.

4- Saya bersetuju dengan saranan Dr Asri agar membuka pintu seluas-luasnya dan menghamparkan karpet merah bagi mereka yang merasa tidak puashati dengan kehadiran DZN dan berdebat dengan beliau secara langsung di hadapan pendengar.

5- Siapakah ASWAJA yang mendakwa mewakili kelompok Islam yang kononnya hanya kumpulannya yang mengikut rasulullah? Mungkin Hindu Sanggam berani mengikut perbuatan mereka bagi menentang kedatangan Dr Zakir. Malang jika sekiranya benar, orang yang mengaku sebagai Islam telah menunjukkan jalan untuk orang Islam dihina. Kita berharap ASWAJA tidak cuba menghina raja-raja yang menjadi ketua agama negeri-negeri di Malaysia.

6- Akhirnya sebagai satu peringatan buat semua, PAS berharap agar isu ini bukannya bagi menutup isu-isu penyelewengan lain yang sedang berlaku di dalam negara. 1MDB,  GST yang membuli rakyat, rasuah, DLP, mahupun juga perbalahan bekas MB dan MB sekarang dan sebagainya. Jangan gunakan sentimen agama bagi mencapai maksud melarikan diri dan memperbodohkan rakyat demi survival politik pihak-pihak tertentu.

YB Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
3 Rejab 1437 bersamaan 11 April 2016

0 comments: